Sering kali, bibir mungkin mampu mengukir senyuman palsu atau menuturkan kata-kata yang tidak benar, tetapi mata tidak punya keupayaan untuk bersembunyi. Di sebalik sepasang mata, tersimpan seribu satu rahsia:
Sedih yang cuba dipendam.
Gembira yang memancar sinar.
Marah yang membara tajam.
Kecewa yang layu tanpa suara.
Kosong yang hilang arah tujuan.
Dalam anatomi manusia, mata ialah yang paling pantas menerima maklumat, manakala yang keduanya adalah telinga. Sebelum sepatah perkataan sempat didengari, mata sudah terlebih dahulu menangkap suasana, gerak-geri, dan riak wajah. Mata bukan sekadar untuk melihat dunia luar, tetapi ia adalah pantulan apa yang sedang berlaku di dalam jiwa.
Mata yang Masih Mencari
Bernikah adalah tempat ibadah di mana kita menyemai pahala bersama. Di dalam rumah tangga, kita seharusnya saling mengenali dengan lebih dalam, menjadi tempat untuk hati berehat dan mata berhenti meliar.
Namun, pernahkah anda merasa pasangan anda masih melihat dan mencari di luar pernikahan? Mata yang masih mencari padahal dia sudah punya apa yang dicari di depan mata. Mungkin rasa kurang menghargai itu telah menutupi nikmat sebenar yang ada di depan mata.
Kadangkala, matanya masih mencari seolah-olah ikatan perkahwinan itu hanya sekadar untuk menutup luka atau masa lalu yang tidak pernah sembuh. Raga ada di rumah, namun hati dan fikirannya melayang entah ke mana.
Titik Kesedaran: Antara Pasrah dan Doa
Rasa tersakiti dan tangisan yang berpanjangan itu akhirnya sampai ke satu titik noktah. Apabila hati sudah mula pasrah dan bersedia untuk pergi, barulah kebenaran mula tersingkap di mata yang mencari tadi.
Hampir terlambat, namun Tuhan itu Maha Adil. Segala usaha dan kesabaran untuk menyedarkannya daripada "mimpi" yang salah itu akhirnya mulai terbalas. Dia akhirnya pulang melihat apa yang ada di depan mata dengan pandangan yang penuh kesyukuran.
Alhamdulillah. Teruslah menghargai apa yang ada di depan mata sebelum pandangan itu dikaburkan oleh kehilangan yang tidak berpatah balik.
Semoga mata kita sentiasa terjaga untuk melihat hanya yang halal dan menghargai apa yang sudah dimiliki.
No comments:
Post a Comment